Kalau ada orang tanya kita “Apa benda virus komputer tu?”, “Sama ke virus dalam biologi dengan virus dalam komputer?”, “Dari mana virus tu datang?” atau lain – lain soalan seumpama dengannya, apa yang harus anda lakukan sekiranya anda tidak tahu untuk menjawabnya?
  1. Berpura – pura dan meraung - raung seperti anda dirasuk?
  2. Menjerit seperti nampak artis “Oh my God, itu M. Nasir!” dan kemudian menghilangkan diri dari pandangan orang yang bertanya?
  3. Tiba – tiba anda menari gaya orang puak asli di Afrika, siap dengan bunyi sekali?
  4. Berkata “Yes. I’m fine. Thank you.”?
  5. Dengan ekspressi yang tenang dan bergaya, anda menjawab “Entah”, suatu jawapan yang agak “simple”?
  6. Jawapan anda secara “manual”, cuba fikirkan dan berikan sedikit komen?
Tak mengapa jika kita tidak tahu menjawabnya. Saya juga pernah menghadapi situasi yang sama. Alhamdullillah, saya berjaya menjawabnya dengan cemerlang, kejayaan itu masih tersemat di dalam hati. Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengetahuan saya dengan para pembaca tentang definisi dan jenis – jenis virus komputer.

Definisi
Virus komputer merupakan suatu program yang dicipta untuk pelbagai tujuan dan juga boleh tersembunyi di dalam sesebuah perisian (Software). Si jahat virus komputer ni berkemampuan menyalin diri dan menjangkiti bahagian atau program lain dalam komputer, dokumen dan sebagainya.



Memang sudah menjadi kebiasaan, apabila program yang dijangkiti itu dioperasikan, virus tersebut akan mengaktif serta melakukan salinan diri sendiri dan mendatangkan kerosakan seperti membuat paparan skrin, memadam data dan macam – macam lagilah pelbagai kemusnahan yang dapat dilakukan.



Jenis – jenis virus komputer

Cecacing
Worm atau cecacing berkemampuan melakukan eksploitasi terhadap kelemahan suatu sistem operasi serta menyalinkan dirinya pada rangkaian komputer. Antara cecacing yang pernah menyerang pengguna computer adalah Worm Code Red yang mengeksploitasi kelemahan Windows 2000. Tak berbahaya sangat untuk sistem komputer yang terkini.


Adware
Haa, virus yang ni memang menyusahkan. Ianya program yang memunculkan pop – up iklan atau iklan yang tersembunyi, yakni yang dimasukkan oleh pembuat program ke dalam sesebuah program menyebabkan pengguna terpaksa menerima iklan tersebut.


Spyware
Yang ni merupakan program intipan yang berupaya mendapatkan dan mengumpul maklumat pengguna sesebuah komputer tanpa disedari. Pencerobohan peribadi ini boleh menguntungkan pihak pengintip kerana sesuatu maklumat terkumpul boleh dijual kepada pihak yang berminat atau untuk sebarang promosi dan strategi produk keluaran syarikat mereka.

Program intipan ini boleh didatangi bersama secara tersembunyi melalui program berbentuk freeware, shareware atau demo yang boleh dimuat turun dengan mudah di internet. Bila nak muat turun sesuatu, pastikan sistem komputer anda tidak “bogel” (Wajib ada Anti – Virus)


Trojan
Program ini diakui sangat berbahaya kerana ia membolehkan penggodam komputer untuk mengawal serta melakukan sebarang perubahan kepada komputer tanpa pengetahuan tuan empunya komputer tersebut. Selain itu, ia juga berkemampuan mencipta, menghapus dan memindah sesuatu fail tanpa diketahui. Akan tetapi, ianya bukan serbuk pencuci baju Trojan yang selalu orang ramai gunakan.


Spam
Melibatkan kegiatan e-mel yang tidak diundang kehadirannya yang dihantar dalam jumlah yang banyak dan dilakukan sekadar sebagai hiburan atau aktiviti pengiklanan yang salah tanpa kebenaran penerimanya. Ia kebiasaanya menyusahkan penerima dari segi ruang e-mel dan pembaziran masa.


Famous Last Words
“Saya pelajar jurusan ICT. Saya tidak perlukan pen dan kertas untuk menulis, cukuplah sekadar sebuah komputer untuk memudahkan saya menulis . Sehinggalah pada suatu hari, saya menggunakan pen untuk melakar dahulu di atas kertas sebelum membina suatu program perisian komputer”

Setiap hari, akan ada barangan teknologi baru dipasarkan. Negara kita sudah berada di ambang permulaan menuju ke alam dunia yang berteknologi tinggi. Sebaik – baiknya kita perlu mengisi asas – asas pengetahuan ICT dalam diri agar tidak terkapai – kapai ditinggalkan dalam arus komodenan.

InsyaAllah, pada masa yang akan datang, saya akan cuba menulis tentang “Anti – Virus”. Sekiranya anda pakar dalam bidang ni dan ingin berkongsi maklumat, terus je e-melkan kepada saya Digital_Izzat@yahoo.com.